Menghayati Semangat Ramadan Penuh Bermakna
Nestlé Malaysia menghayati semangat sebenar Ramadan, bulan yang penuh dengan kasih sayang, perpaduan, dan kemurahan hati, melalui program “Ramadan Penuh Bermakna bersama Nestlé.” Inisiatif ini memastikan golongan kurang bernasib baik di seluruh negara menerima makanan berkhasiat dan barangan keperluan sepanjang bulan yang mulia ini. Dengan kerjasama erat bersama pihak berkuasa agama Islam tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan media dan universiti, usaha Nestlé telah mencapai lebih 300,000 penerima di seluruh negara, dengan bantuan makanan bernilai kira-kira RM2 juta.

Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, menekankan komitmen syarikat: “Bulan Ramadan mengajar kita untuk saling menghargai dan membantu satu sama lain. Sejajar dengan dedikasi kami untuk menambah baik kehidupan rakyat Malaysia, kami komited untuk memainkan peranan meringankan beban golongan kurang mampu yang mungkin menghadapi cabaran tambahan dalam tempoh ini. Menerusi “Ramadan Penuh Bermakna bersama Nestlé”, kami berganding bahu dengan rakan-rakan dan mengerahkan sukarelawan Nestlé Sayang Komuniti kami sendiri untuk memastikan makanan berkhasiat menyantuni mereka yang memerlukan, sambil memenuhi janji kami untuk membawakan Good Food, Good Life.”
Pengedaran Bakul Ramadan dan Bantuan Ramadan

Tumpuan utama dalam Bantuan Ramadan tahun ini adalah pembungkusan dan pengedaran lebih daripada 15,000 Bakul Ramadan, bersama-sama dengan penyediaan makanan untuk berbuka puasa dan pengagihan Bubur Lambuk MAGGI di seluruh negara. Bakul Ramadan ini mengandungi produk utama Nestlé seperti MILO, MAGGI, NESCAFÉ, Susu EVERYDAY, NESTUM, dan Emping Jagung NESTLÉ GOLD, membantu keluarga kekal mendapat bekalan makanan yang mencukupi sepanjang bulan puasa.
Salah satu rakan kerjasama utama adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membantu menyampaikan 1,500 Bakul Ramadan kepada komuniti rentan di Lembah Klang dan kawasan lain, termasuk Tanjung Malim dan Hulu Selangor. Nestlé juga menyokong program Iftar MADANI JAKIM dengan membekalkan minuman untuk berbuka puasa serta menyumbang bekalan produk NESCAFÉ dan MILO selama dua minggu kepada 70 masjid, termasuk di bawah JAKIM dan enam Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri, memberi manfaat kepada hampir 40,000 ahli kariah masjid.

Bantuan Ramadan turut diperluaskan kepada golongan miskin bandar, komuniti Pantai Timur, dan yayasan kebajikan yang menyantuni gelandangan, anak-anak orang asli, dan rumah anak yatim melalui kerjasama dengan organisasi media, PRESMA, dan Ali Maju, dengan pengagihan tambahan sebanyak 3,500 bungkusan Bantuan Ramadan.
Memperkasa Sokongan Komuniti dan Semangat Sukarelawan

Selain daripada pengedaran bantuan makanan, Nestlé Malaysia memperluaskan usaha bantuan Ramadan menerusi sokongan komuniti bersasar, termasuk sumbangan produk dan bantuan kewangan melalui Pertubuhan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), yang memberi manfaat kepada 500 isi rumah golongan pelarian. Syarikat turut mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong dan menyediakan bekalan makanan selama setahun kepada rumah anak yatim dengan kerjasama Komuniti Belia Selangor (SAY).
Nestlé juga meneruskan tradisi menyediakan dan mengagihkan Bubur Lambuk MAGGI, yang tahun ini menjangkau lebih 400,000 individu di lebih 300 lokasi seluruh negara, termasuk pelajar yang layak menerima zakat di UiTM, UMT dan UMK. Inisiatif ini menggalakkan semangat sukarelawan dalam kalangan belia dengan menggabungkan sukarelawan Nestlé Sayang Komuniti dan pelajar universiti dalam aktiviti gotong-royong bermakna.

Dengan sejarah penubuhan sejak 1912, Nestlé Malaysia kekal komited untuk memberi impak positif kepada komuniti yang diservisnya. Melalui program “Ramadan Penuh Bermakna bersama Nestlé,” syarikat terus menunaikan janji Good Food, Good Life, memastikan semangat kasih sayang dan perpaduan sentiasa hidup sepanjang Ramadan.