Memahami Jejak Karbon Anda | Nestlé Home of Good Langkau ke kandungan utama

Memahami Jejak Karbon Anda: Apakah Maksudnya dan Cara Mengurangkannya di Malaysia

Memahami Jejak Karbon Anda: Apakah Maksudnya dan Cara Mengurangkannya di Malaysia
Nestlé
Greener Planet Articles by Nestlé

Apakah Itu Jejak Karbon?

Pernahkah anda terfikir bagaimana pilihan harian anda mempengaruhi alam sekitar? Daripada memandu ke tempat kerja, memesan makanan melalui perkhidmatan penghantaran hinggalah menghidupkan penghawa dingin, semuanya menyumbang kepada jejak karbon anda.

Jejak karbon merujuk kepada jumlah keseluruhan gas rumah hijau, terutamanya karbon dioksida (CO₂), yang dilepaskan ke atmosfera akibat aktiviti anda. Dengan ringkasnya, pilihan gaya hidup anda meninggalkan kesan terhadap bumi kita. Walaubagaimanapun, perubahan kecil anda boleh memberikan impak yang besar, terutamanya apabila kita semua mengamalkannya bersama-sama.

Mengapakah Jejak Karbon Penting?

Mengapakah Jejak Karbon Penting?

Perubahan iklim bukan lagi isu yang jauh atau sekadar teori sahaja. Kita sendiri sedang merasai kesannya melalui:

●    Hari yang semakin panas dan gelombang haba yang berpanjangan
●    Hujan monsun yang lebih lebat dan kejadian banjir yang semakin kerap
●    Kenaikan paras laut di sepanjang kawasan pantai

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, penggunaan tenaga, tabiat pengangkutan dan corak penggunaan barangan kita semuanya memainkan peranan. Malah, purata jejak karbon rakyat Malaysia kini dianggarkan sekitar 8 tan CO₂ setahun. Angka ini lebih tinggi berbanding purata global, iaitu kira-kira 4.7 tan, sebahagian besarnya disebabkan oleh industri yang menggunakan tenaga secara intensif dan kebergantungan yang tinggi terhadap kenderaan persendirian.

Namun, perkara penting yang perlu diingat ialah anda tidak perlu mengubah keseluruhan gaya hidup untuk memberikan kesan positif. Semuanya bermula dengan meningkatkan kesedaran dan mengambil beberapa langkah kecil.

Dari Manakah Datangnya Jejak Karbon Anda?

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, pelepasan karbon berpunca daripada tiga aspek kehidupan seharian.

Pengangkutan

Pengangkutan

Pengangkutan merupakan antara penyumbang terbesar kepada jejak karbon individu. Memandangkan ramai rakyat Malaysia bergantung pada kereta untuk perjalanan harian, penggunaan bahan api terkumpul dengan cepat. Hal ini turut menyumbang kepada kadar pelepasan karbon per kapita Malaysia yang antara tertinggi di ASEAN.

Perubahan kecil berikut boleh membawa manfaat yang besar:

●    Berkongsi kereta apabila berpeluang.
●    Menggunakan pengangkutan awam seperti bas, MRT atau LRT berbanding memandu.
●    Berjalan kaki untuk perjalanan jarak dekat.

Penggunaan Elektrik di Rumah

Penggunaan Elektrik di Rumah

Penghawa dingin, lampu dan peralatan elektrik semuanya menggunakan tenaga elektrik. Sebahagian besar bekalan elektrik Malaysia pula masih dijana daripada bahan api fosil. Ini bermakna setiap kilowatt-jam (kWj) elektrik yang digunakan mempunyai jejak karbon tersendiri.

Antara perubahan mudah yang boleh anda lakukan ialah:

●    Menetapkan suhu penghawa dingin pada 24–25°C.
●    Memilih peralatan elektrik yang cekap tenaga.
●    Mematikan dan mencabut bahan elektronik yang tidak digunakan.

Amalan kecil boleh membawa impak yang besar, malah membantu mengurangkan bil elektrik anda.

Pilihan Makanan

Ramai orang tidak sedar bahawa pilihan makanan anda sebenarnya memberikan kesan yang besar. Kajian secara konsisten menunjukkan bahawa daging dan produk tenusu, terutamanya daging lembu dan kambing biri-biri, mempunyai jejak karbon yang jauh lebih tinggi berbanding makanan berasaskan tumbuhan, sama ada diukur mengikut berat, kalori atau kandungan protein. Hal ini adalah kerana sebahagian besarnya disebabkan oleh pelepasan gas metana daripada ternakan serta penggunaan tanah untuk membesarkan haiwan tersebut.

Anda tidak perlu mengubah keseluruhan diet dalam masa sehari. Menggantikan hanya satu atau dua hidangan seminggu dengan pilihan berasaskan tumbuhan sudah boleh membantu mengurangkan jejak karbon anda dari semasa ke semasa. Kajian juga menunjukkan bahawa mengubah jenis makanan yang diambil boleh memberikan kesan yang lebih besar berbanding hanya memilih makanan tempatan.

Bagaimanakah Anda Boleh Mengurangkan Jejak Karbon?

Setiap orang boleh memainkan peranan dalam mengurangkan jejak karbon. Berikut ialah beberapa langkah yang boleh anda mulakan hari ini.

1. Buat Pilihan Harian yang Lebih Bijak

Buat Pilihan Harian yang Lebih Bijak

●    Membawa beg guna semula atau botol air sendiri.
●    Rancang hidangan lebih awal untuk mengurangkan pembaziran makanan.
●    Pilih produk tempatan dimana boleh.

Perubahan ini mungkin kelihatan kecil dan mudah dilakukan, tetapi kesannya boleh terkumpul dengan cepat apabila diamalkan setiap hari.

2. Gunakan Tenaga dengan Lebih Berhemah di Rumah

●    Padamkan lampu dan cabut alatan elektronik apabila tidak digunakan.
●    Tukar kepada lampu LED yang lebih cekap tenaga.
●    Pantau penggunaan elektrik di rumah.

Dengan langkah ini, anda boleh mengurangkan jejak karbon dan dapat menjimatkan bil elektrik pada masa yang sama.

3. Ubah Tabiat Pengangkutan Anda

Ubah Tabiat Pengangkutan Anda

●    Gabungkan beberapa urusan dalam satu perjalanan berbanding membuat beberapa perjalanan berasingan.
●    Gunakan pengangkutan awam apabila sesuai dan mudah.
●    Pertimbangkan kenderaan hibrid atau kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan.

Mengurangkan beberapa perjalanan menggunakan kereta setiap minggu pun boleh memberikan kesan yang lebih besar daripada yang anda sangkakan.

4. Pilih Jenama yang Sehaluan dengan Nilai Anda

Sebagai pengguna, anda mempunyai pengaruh yang lebih besar daripada yang disedari. Apabila anda menyokong jenama yang komited terhadap kelestarian, sama ada melalui sumber bahan yang bertanggungjawab, pengurangan pembungkusan atau tindakan menangani perubahan iklim, anda turut membantu mendorong seluruh industri untuk mengamalkan pendekatan yang lebih baik.

Amalan Kecil, Impak Besar

Ia sangat mudah untuk berasa bahawa tindakan seorang individu tidak membawa banyak perubahan dalam gambaran yang lebih besar. Namun, cuba bayangkan keadaan berikut:

●    Berjuta-juta rakyat Malaysia menjimatkan penggunaan elektrik.
●    Keluarga mengurangkan pembaziran makanan.
●    Komuniti bersama-sama memilih pilihan yang lebih lestari.

Inilah cara perubahan sebenar yang boleh diukur dapat dicapai. Kelestarian bukan tentang melakukan segala-galanya dengan sempurna, tetapi tentang mengamalkan perubahan secara konsisten.

Mengurangkan jejak karbon bukan bermakna anda perlu melakukan semuanya sekaligus. Anda boleh bermula dengan langkah kecil:

●    Padamkan satu lampu tambahan apabila tidak diperlukan.
●    Kurangkan satu perjalanan menggunakan kereta setiap minggu.
●    Tambahkan satu hidangan berasaskan tumbuhan dalam rutin pemakanan anda.

Perkara yang paling penting ialah mengambil langkah pertama dan terus membina tabiat yang lebih baik dari situ.

Mulakan Hari Ini!

Mulakan Hari Ini!

Memahami jejak karbon bukan tentang menyalahkan diri sendiri. Sebaliknya, ia tentang menyedari bahawa anda mempunyai kuasa untuk membawa perubahan. Apabila anda memahami kesan pilihan harian anda, anda juga akan menyedari betapa besarnya peranan yang boleh dimainkan dalam melindungi alam sekitar, satu tabiat kecil pada satu masa.

 

 

Rujukan

1. TheGlobalEconomy.com. (2024). Malaysia CO2 emissions per capita. https://www.theglobaleconomy.com/Malaysia/Carbon_dioxide_emissions_per_capita/

2. The Star. (2026). Interactive: Malaysia is 3rd in Asean for carbon dioxide emissions. https://www.thestar.com.my/news/nation/2026/06/24/interactive-malaysia-is-3rd-in-asean-for-carbon-dioxide-emissions

3. Our World in Data. (2020). CO2 and greenhouse gas emissions: Malaysia country profile. https://ourworldindata.org/co2/country/malaysia

4. Our World in Data. (2022). Environmental impacts of food production. https://ourworldindata.org/environmental-impacts-of-food

5. Our World in Data. (2020). Less meat is nearly always better than sustainable meat, to reduce your carbon footprint. https://ourworldindata.org/less-meat-or-sustainable-meat

6. Our World in Data. (2020). You want to reduce the carbon footprint of your food? Focus on what you eat, not whether your food is local. https://ourworldindata.org/food-choice-vs-eating-local

7. International Energy Agency. (2024). Malaysia — countries & regions. https://www.iea.org/countries/malaysia/emissions

Nota: Data mengenai jejak karbon dan pelepasan karbon Malaysia diperoleh daripada organisasi penyelidikan pihak ketiga, termasuk Bank Dunia, Our World in Data dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), serta laporan berita yang tersedia sehingga tahun 2026. Angka yang digunakan perlu dikemas kini secara berkala selaras data baharu diterbitkan.


Image

Print

Kami akan menghantar anda ke halaman:

Teruskan ke halaman?