Kesihatan Usus 101
Kesihatan Usus 101: Mengapa Sistem Penghadaman Anda Adalah Kunci kepada Kesejahteraan Menyeluruh
Apabila kita memikirkan tentang bagaimana kita boleh mengekalkan kesihatan, kita sering memberi tumpuan pada jantung, kulit atau sistem imun. Namun, tahukah anda bahawa usus anda juga boleh mempengaruhi semua ini? Sebenarnya, mengekalkan kesihatan usus mungkin antara langkah paling penting yang boleh dilakukan oleh anda untuk kesejahteraan menyeluruh.
Apa Itu Mikrobiota Usus?

Usus anda menjadi rumah kepada trilion mikroorganisma, termasuk bakteria, kulat dan mikrob lain. Kesemuanya ini dikenali sebagai mikrobiota usus. Organisma kecil ini mainkan peranan penting seperti membantu pencernaan makanan, menyokong penyerapan nutrien dan melindungi tubuh badan daripada bakteria berbahaya. Mikrobioata yang sihat adalah penting untuk ekosistem yang seimbang, sekaligus mempunyai sistem penghadaman dan pertahanan imun yang kuat.
Bagaimana Kesihatan Usus Mempengaruhi Imuniti
Anggaran 70% sistem imun anda berada di dalam usus. Apabila mikrobiota anda berada dalam keadaan seimbang, ia menyokong pertahanan semula jadi tubuh badan dengan mengenal pasti dan melawan kuman berbahaya. Namun, apabila keseimbangan ini terganggu akibat tekanan, diet tidak seimbang atau penyakit, sistem imun boleh menjadi lemah, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan dan keradangan.
Hubungan Usus–Otak

Anda mungkin terdengar tentang hubungan usus–otak. Ia merujuk kepada usus dan otak yang saling berkomunikasi melalui saraf, hormon dan isyarat imun. Hubungan inilah yang dikenali sebagai paksi usus–otak, di mana kesihatan usus boleh mempengaruhi emosi, tahap tekanan dan kejelasan mental. Kajian menunjukkan bahawa usus yang tidak sihat mungkin berkait dengan kebimbangan, kemurungan dan keletihan, manakala usus yang sihat menyokong kadar tumpuan serta kestabilan emosi yang lebih baik.
Tanda-Tanda Kesihatan Usus yang Kurang Baik
Bagaimana untuk mengetahui jika usus anda memerlukan perhatian? Perhatikan tanda-tanda biasa berikut:
-
Kerap kembung atau berangin
-
Pergerakan usus tidak teratur
-
Sentiasa letih
-
Ketidakserasian makanan
-
Penyakit autoimun
-
Perubahan emosi yang tidak dapat dijelaskan
Simptom-simptom ini boleh menunjukkan bahawa mikrobiota usus anda mungkin tidak seimbang.
Cara Meningkatkan Kesihatan Usus
Berita baiknya ialah, usus anda boleh pulih dan menjadi lebih sihat dengan penjagaan yang betul. Berikut adalah caranya:
-
Makan diet seimbang yang kaya dengan serat – Contohnya, bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran. Serat menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus. Ketahui lebih lanjut tentang makanan tinggi serat.
-
Ambil makanan yang ditapai ataupun makanan/suplemen kaya probiotik – Contohnya, yogurt, kefir, kimchi dan tempeh mengandungi bakteria baik yang membantu memulihkan keseimbangan di dalam usus. Jika anda mempunyai keperluan diet tertentu, makanan/suplemen mengandungi probiotik juga boleh membantu menyokong mikrobiota anda. Dapatkan nasihat doktor untuk pemilihan yang sesuai berdasarkan keperluan.
-
Kekal terhidrat – Air menyokong proses penghadaman dan penyerapan nutrien lebih berkesan. Panduan Diet Malaysia menyarankan pengambilan sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas air sehari.
-
Kurangkan makanan diproses dan gula tambahan – Pengambilan berlebihan makanan diproses seperti sosej, minuman bergas dan kerepek boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria berbahaya dan mengganggu mikrobiom. Gantikan dengan makanan segar, minuman tanpa gula seperti kopi O, serta buah-buahan seperti epal atau oren.
-
Pengurusan Tekanan – Senaman berkala, meditasi dan tidur yang cukup membantu mengekalkan keharmonian paksi usus–otak. Ketahui lebih lanjut tentang cara menangani stres.
Kesimpulan
Kesihatan usus bukan sekadar tentang penghadaman — ia adalah asas kepada kesejahteraan menyeluruh. Dengan mengambil langkah-langkah mudah dan konsisten untuk menjaga mikrobiota, anda turut menyokong sistem imun, tahap tenaga dan keseimbangan emosi. Apabila usus sihat, seluruh tubuh akan berfungsi dengan lebih baik.
Sumber: